Rabu, 13 Mei 2015

Pengutip Hutang Di Tembak Mati Di Butterworth


Butterworth: Seorang pemungut hutang berusia 31 tahun, ditemui mati dengan kesan tembakan di lorong belakang deretan rumah kedai di Taman Carissa, Mak Mandin, 7.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, mangsa dikenali sebagai Goh Wooi Loon, mati di tempat kejadian dan pemeriksaan dilakukan anggota forensik menemui kesan kecederaan akibat tembakan di bawah telinga kanan mangsa.
Beliau berkata, ketika kejadian saksi terdengar satu das tembakan dari arah lorong belakang rumah kedai berkenaan sebelum mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah terbaring dan tidak sedarkan diri.
"Ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dan pada masa yang sama seorang lelaki tidak dikenali juga menunggang motosikal turut berada bersamanya, namun melarikan diri sejurus bunyi tembakan.
"Anggota polis yang mendapat panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya.
Abdul Rahman berkata, siasatan dilakukan membabitkan pelbagai sudut untuk mengenalpasti motif kejadian termasuk kemungkinan timbul rasa tidak puas hati berikutan mangsa yang bekerja sebagai pemungut hutang.
Pemeriksaan lanjut juga dilakukan bagi mengesan sekiranya terdapat barangan berharga milik mangsa yang hilang ketika kejadian.
"Setakat ini kami hanya mengesan satu kecederaan akibat tembakan dan kes disiasat kengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Usaha kini ditumpukan untuk mengesan suspek dan kami meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung kes ini tampil segera bagi bantu siasatan," katanya.

Sumber Info:Salman Hamat (node 50431)
Rabu, 13 Mei 2015 @ 12:15 AM





Sumber foto:
-Madi
-MTrCrew Telegram

Lawati Halaman Kami Di Facebook


Tiada ulasan: