Khamis, 23 April 2015

Beruang Matahari Sesat Di Sawah Padi



Sabak Bernam: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil masa selama lima hari menjejaki seekor beruang betina yang dilaporkan tersesat sejauh 50 kilometer sejak Khamis lalu.
Pengarah Jabatan PERHILITAN Selangor Abd Rahim Othman berkata, beruang betina jenis matahari itu dipercayai dari Hutan Simpan Sungai Karang, Simpang Lima sebelum ditemui penduduk berkeliaran di sekitar Kampung Batu 4, Sapintas.
Bagaimanapun, usaha pihaknya menjejaki beruang yang dianggarkan seberat 70 kilogram itu menemui jalan buntu selepas haiwan itu menghilangkan diri selepas ditembak dengan ubat pelali jam 6 petang hari sama.
“Operasi menjejaki haiwan itu diketuai Pegawai PERHILITAN Sabak Bernam Ahmad Syawal Mohamed Gani selepas menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan mereka terserempak dengan beruang berkenaan jam 4.30 petang.
“Walaupun dalam keadaan cuaca gelap, pasukan kami tidak berputus asa apabila bertindak memasang perangkap di kawasan terbabit jam 11 malam selepas haiwan itu gagal dikesan,” katanya.
Beberapa hari selepas itu, pihaknya sekali lagi menerima aduan penduduk yang mendakwa terserempak dengan beruang itu yang berkeliaran di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena.
Bagaimanapun, katanya, beruang itu berjaya dikesan selepas penduduk mendakwa ternampak haiwan itu berada di sekitar kawasan sawah padi jam 5.30 petang di Kampung Parit 1 Simpang Tiga Loji, Sungai Besar.
Katanya, beruang itu diberikan rawatan dan pemantauan terlebih dulu sebelum dihantar ke Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu.

sumber Info:Wartawan Hmetro (node 45710)
Khamis, 23 April 2015 @ 8:11 AM

Sumber Foto:
-Syahid PTT
-I love Sg Besar




-------------------------------------------------- -------
Jika Anda Ada Sebarang Berita / Foto Kejadian Terkini
Dan Anda Ingin Kongsikan Secara Sukarela
Anda Boleh hantar Artikel Bahan tersebut ke Whatsapp BSKHku
Melalui Talian Hp +601126422627
Www.facebook.com/baganseraikampunghalamanku





Tiada ulasan: