Ahad, 5 April 2015

Helikopter Jenis Eurocopter Dauphin AS365N2 Telah Terhempas Di Kampung Pasir Baru,Sungai Pening,Semenyih Petang Tadi (4/4/2015)

Rentetan Berita Mengenai Helikopter Terhempas

SEMENYIH -Sebuah helikopter terhempas manakala, dua penumpang dipercayai rentung dalam kejadian  di Kampung Pasir Baru

Semenyih kira-kira 4.55 petang tadi.
Menurut jurucakap bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan pada jam, 4.57 petang.Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Bangi dan Kajang diarahkan ke lokasi kejadian.“Laporan awal mendapati helikopter terhempas dan terbakar. Terdapat enam mangsa dalam pesawat berkenaan.Maklumat awal, bangkai helikopter ditemui kira-kira jam 6. 10 petang.“Tiga mangsa termasuk dua rentung berjaya ditemui, manakala, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan ke atas tiga lagi mangsa,"katanya
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, pesawat yang terhempas adalah milik swasta S 365 (Solitaire Services) yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang.Maklumat turut tersebar, helikopter tersebut membawa beberapa orang kenamaan dan pegawai kerajaan.Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, tiga mayat nahas helikopter itu telah ditemui, dan pihak berkuasa sedang mencari tiga lagi penumpang lain.Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang."Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.

Sumber info :siti Zubaidah Mat Isa
--------------------------------------------------------------------------------

SEMENYIH - Keenam-enam mayat terlibat insiden membabitkan sebuah helikopter terhempas di Kampung Pasir Baru Semenyih kira-kira 4.55 petang tadi, sudah ditemui.
Mayat akan dibawa ke Hospital Kajang.Difahamkan, helikopter malang itu membawa Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain.

sumber Info :sinar Harian
---------------------------------------------------------------------------------
Semenyih: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Tan Sri Jamaluddin Jarjis antara enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, petang tadi.Beliau berkata, Jamaluddin berada di dalam helikopter berkenaan ketika nahas berlaku.
Sementara itu, Pengarah Bomba Negeri Selangor, Othman Abdullah berkata, keenam-enam mayat mangsa nahas helikopter sudah ditemui dan akan dibawa keluar dalam masa sejam.
Helikopter jenis AS365 Dauphin terhempas berhampiran Jalan Sungai Lalang-Kampung Pasir Baru di sini.Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, seorang saksi Roslan Harun, 53, yang berada berhampiran lokasi kejadian melihat api marak di kawasan kebun kelapa sawit.
Menurutnya, dia tidak dapat menghampiri lokasi kejadian dan berada kira-kira 200 meter dari serpihan badan utama helikopter berkenaan."Ketika kejadian hujan lebat dan saya terus menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu."Saya kemudian keluar dari lokasi nahas untuk menunjukkan jalan kepada pihak berkuasa untuk masuk ke sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian nahas.

Sumber info:Wartawan Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 8:50 PM
---------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 4 April - Kediaman Allahyarham Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis di Seri Kembangan dekat sini mula diziarahi ramai sanak saudara serta para sahabat.
Salah seorang ahli keluarga yang enggan dikenali bagaimanapun meminta wartawan serta petugas media lain agar tidak berada di situ.“Saya berharap para wartawan untuk tidak berada di dalam kawasan rumah kerana ini merupakan permintaan keluarga.“Bila keadaan sudah tenang saya akan maklumkan kepada semua tetapi buat masa ini harap semua faham,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.Dalam pada itu, difahamkan isteri dan anak-anak Allahyarham Jamaluddin masih berada di dalam rumah.Namun, semakin ramai ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir untuk menziarah keluarga Allahyarham Jamaluddin.

sumber info: UTUSAN ONLINE  04 April 2015 10:58 PM
-----------------------------------------------------------------------------------
SEMENYIH: Kawasan nahas helikopter di Kampung Pasir Baru akan ditutup dan dikawal pihak berkuasa, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat.
Beliau berkata, ia bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan pihak polis serta Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi mengenal pasti punca nahas mengorbankan enam nyawa itu.
"Tempoh masa penutupan kawasan itu juga kita tidak pasti, mungkin sampai siasatan selesai.
"Sekarang ini pasukan forensik kita sudah berada di tapak nahas. Jika siasatan di tapak nahas tidak dapat diselesaikan malam ini,
kita akan sambung esok," katanya ketika ditemui di lokasi nahas, sebentar tadi.
Katanya, polis juga akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dari segi lokasi nahas dan penemuan barangan milik mangsa dan cebisan helikopter, sementara punca kejadian akan disiasat pihak DCA.Abu Samah berkata, pasukannya turut mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa berikutan lokasi nahas yang sukar dimasuki kerana licin dan laluan berbukit.
Beliau turut meminta penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu polis dalam siasatan.

Sumber Info:Berita Harian   SABTU, 4 APRIL 2015 @ 11:30 PM
-------------------------------------------------------------------------------------
SEMENYIH: Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu siasatan penuh rapi dan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca nahas helikopter di Semenyih petang tadi.
Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang,Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini pada 4.55 petang.Perdana menteri menjelaskan bahawa mengikut prosedur beliau tidak boleh mengesahkan identiti mangsa selagi belum disahkan oleh pihak forensik.
"Namun berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai, tragedi ini membawa kehilangan dua orang yang begitu besar sumbangannya kepada kerajaan, parti dan negara," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi nahas di Kampung Sungai Pening, Semenyih di sini malam ini.
Najib yang nyata sedih dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu kehilangan yang amat besar buat diri dan keluarganya memandangkan Jamaluddin adalah kenalan sejak zaman universiti lagi selain amat rapat dari segi sejarah perjuangan dan kerjaya politik.
"Saya anggap Tan Sri Jamaluddin Jarjis seorang yang berkebolehan tinggi, banyak jasanya kepada kerajaan, parti dan negara. Ramai kenalannya di dalam dan luar negara," katanya mengenai Jamaluddin yang pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
"Jamaluddin telah memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat," kata Najib sambil menambah kata, Jamaluddin juga terus banyak memberi nasihat dan pandangan kepadanya walaupun tidak lagi menjadi duta.
Najib, yang dilihat cuba menahan sebak pada sidang media itu, berkata: "Oleh itu kehilangan beliau adalah satu tragedi besar buat saya dan saya amat sedih atas apa yang berlaku."
Selain semasa di universiti, Najib berkata beliau dan Jamaluddin, yang juga anggota Parlimen Rompin, turut seiring ketika pembabitan awal dalam UMNO dan seterusnya dalam dunia pentadbiran kerajaan.Bercakap tentang Azlin yang disifatkan sebagai 'Chief of Staff' di Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata pegawainya itu berperanan menentukan pelbagai perkara penting dalam hal-ehwal pejabat itu."Secara peribadi beliau telah bersetuju meninggalkan kerjayanya dalam bidang korporat untuk berkhidmat dalam kerajaan sebagai khidmatnya untuk negara," katanya.
"Beliau telah bekerja dengan penuh dedikasi, amanah dan disenangi semua pihak, ketiadaan beliau satu kehilangan besar bagi saya," kata Najib.
Perdana menteri berharap keluarga mereka tabah dan bersabar menempuh dugaan ini dan ketentuan Ilahi."Saya dan semua rakan berdoa apa yang telah berlaku itu, sekiranya telah disahkan nanti, kita berdoa kepada Allah supaya roh mereka dicucuri rahmat," katanya.
Perdana menteri berharap sumbangan Jamaluddin dan Azlin kepada negara selama ini dapat dicontohi masyarakat.

Sumber Info :Astro awani
Astro Awani | Kemas kini: April 05, 2015
(Diterbitkan pada: April 05, 2015 00:13 MYT)
------------------------------------------------------------------------------------
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan mengesahkan
enam identiti mangsa nahas helikopter adalah seperti berikut:
1. Kapten Clifford William Fournier (juruterbang)
2. Aidana Baizieva (pembantu juruterbang)
3. Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis (Ahli Parlimen Rompin)
4. Razakan Seran (pengiring Tan Sri Jamaluddin)
5. Datuk Sri Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri)
6. Datuk Tan Huat Seang

Sumber Info :Sinar Harian (5/4/2015) Time 00:27am
-------------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR - Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di Semenyih dekat sini,
petang tadi, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, pasukan itu akan menyiasat dengan menyeluruh termasuk mengambil semua bukti di lokasi nahas itu di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru.
"Pasukan khas ini akan membuat tinjauan di lokasi kejadian termasuk mengambil rakaman kokpit dalam helikopter untuk siasatan lanjut," katanya
ketika ditemu bual oleh stesen televisyen swasta, Astro Awani, secara langsung malam ini.
Tiong Lai berkata, kesemua enam mayat mangsa nahas itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan pengecaman identiti, yang prosesnya dijangka selesai malam ini.
Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA)Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di kawasan kebun getah itu pada 4.55 petang.
Saksi yang melihat kejadian itu memberitahu pemberita bahawa helikopter itu meletup di udara sebelum terhempas, dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah.
Kesemua enam mayat mangsa nahas itu sudah ditemui pasukan mencari dan menyelamat melibatkan
anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam beberapa jam selepas insiden itu.

sumber Info:sinar Harian
----------------------------------------------------------------------------------------

Kesemua enam mayat mangsa tiba di Hospital Kuala Lumpur pada jam 12.27 tengah malam dibawa dengan dua trak polis

Sumber Info :Sinar Harian (Twitter)
----------------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan ke lokasi nahas seawal pagi esok (Ahad) bagi mengutip serpihan pesawat untuk proses siasatan."Kita akan siasat dan berusaha percepat siasatan untuk mengetahui punca nahas.Ditanya tentang punca awal kejadian beliau enggan mengulas lanjut dan menunggu siasatan selesai.

Sumber Info :Norafiza Jaafar /Sinar harian
Waktu artikel :01:30 am
--------------------------------------------------------------------------------------
SHAH ALAM - Jenazah Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dijangka akan disembahyangkan dan dikebumikan sebelum solat Zuhur.Jenazah sebelum itu akan dibawa pulang ke rumahnya di Mines Resort Golf & Country Club, Sri Kembangan.
Terdahulu, enam individu termasuk Jamaluddin dilaporkan terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru Semenyih, petang tadi.
Keenam-enam mayat mangsa berjaya ditemui pasukan penyelamat pada jam 8.15 malam.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan mengesahkan enam identiti mangsa nahas helikopter adalah seperti berikut:

1. Kapten Clifford William Fournier (juruterbang)
2. Aidana Baizieva (pembantu juruterbang)
3. Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis (Ahli Parlimen Rompin)
4. Razakan Seran (pegawai pengiring Tan Sri Jamaluddin)
5. Datuk Sri Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri)
6. Datuk Tan Huat Seang

Salah seorang mayat mangsa dibawa masuk ke Jabatan Forensik HKL.
 Turut berada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

Sumber Info :Sinar Harian
Waktu Artikel : 02:03am 5/4/2015
--------------------------------------------------------------------------------------
Tiga kumpulan DVI untuk kenal pasti mangsa nahas helikopter

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tiga kumpulan Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) ditempatkan di Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mempercepatkan proses bedah siasat mayat mangsa nahas helikopter di Semenyih.
"Tiga kumpulan DVI sudah bersedia di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpir (HKL) bagi menjalankan bedah siasat dan suai padan sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) waris.
"Proses pengecaman mangsa lebih mudah jika menggunakan sampel DNA seperti tulang dan gigi untuk mengenal pasti identiti mangsa nahas," katanya kepada pemberita di HKL, di sini, sebentar tadi.Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, berkata pihaknya akan memulakan usaha pencarian bahan bukti di lokasi nahas helikopter di Semenyih bermula kira-kira jam 9.30 pagi nanti.
Katanya, siasatan forensik berkenaan meliputi pencarian bahan bukti seperti merekodkan gambar serta mendapatkan serpihan untuk siasatan lanjut.
"Ketika ini, kami belum dapat memastikan tempoh siasatan berikutan perlu memastikan kesemua aspek daripada nahas diteliti," katanya.

Sumber Info :Wartawan Berita Harian
Waktu dan Tarikh Artikel:AHAD, 5 APRIL 2015 @ 2:14 AM
========================================================================
Sumber Foto Daripada:

-Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri selangor
-Sinar Harian
-Bernama
-Astro Awani
-The Star
-New Strait Time
-Afiq Razali
-Marlina Manaf
-Nisa Kasnoon
-Mariah Ahmad
-Noor Amran Sapuan (DiTw)
-Shaiful Nizam (DiTw)
-Muhammad Fahmie (DiTw)
-Ewan Nazri (DiTw)
-Disaster in The World (DiTw) & Crew
-Daily Trafik Info & Crew
-Syam Kamal & kemalangan jalan raya (excident)
-Halaman Informasi Kemalangan Terkini
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Gambar Foto Di Tapak Kejadian .






























Tiada ulasan: