Khamis, 23 April 2015

Trak Tentera Bertembung Dengan Toyota Innova



Pekan: Tiga anggota tentera cedera apabila trak dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang datang dari arah bertentangan di Jalan Paloh Hinai-Pekan, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian 5.30 petang itu, semua anggota terbabit dari Briged Mekanise Kem Batu 10, Kuantan, dikatakan baru selesai mengikuti Program Jiwa Murni di Muadzam Shah, Rompin dan dalam perjalanan pulang ke kem mereka.
Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah MPV dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
"Pemandu trak tentera itu cuba mengelak daripada bertembung dengan MPV berkenaan, namun tidak berjaya selepas trak itu melanggar bahagian kiri jalan sebelum terbalik.
"Difahamkan, trak itu berpusing dua kali mengakibatkan semua anggota yang berada di dalamnya mengalami kecederaan," katanya.
Menurut Zainalabidin, tiga anggota tentera berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan kepala.
Katanya, mereka dihantar ke Hospital Pekan, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Anggota tentera yang terbabit dalam kemalangan itu adalah Staf Sarjan Hasbullah Zakaria mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang, Lans Korperal Zamri Zakari cedera bahagian pinggang dan Korperal Mahadir Abdullah yang mengalami luka agak serius pada bahagian kepala.
"Pemandu MPV itu hanya cedera ringan," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sumber Info:Syazwan Msar (node 45663)
Rabu, 22 April 2015 @ 10:07 PM

sumber Foto:
-Noor Amran Safuan
-Faizal Buyong









Jika Anda Ada Sebarang Berita / Foto Kejadian Terkini 
Dan Anda Ingin Kongsikan Secara Sukarela 
Anda Boleh hantar Artikel Bahan tersebut ke Whatsapp BSKHku
Melalui Talian Hp +601126422627Www.facebook.com/baganseraikampunghalamanku






Tiada ulasan: