Selasa, 28 April 2015

Mengapa Kita Sebagai Pelanggan pula Kena Bayar Upah Pekerja Hotel Dan Restoran

Sekadar Gambar Hiasan Sahaja

Jika anda ke restoran, membuat pesanan dan makanan itu sampai 30 atau 45 minit, tetapi tak sedap pula, anda pasti tidak puas hati. Bila nak bayar, kena pula bil 10 peratus caj perkhidmatan daripada jumlah sebenar. Anda tiada pilihan dan kena juga bayar walaupun tidak puas hati dengan khidmat diberi. Biasanya, selepas bayar, kita tidak ambil wang baki sekadar seringgit dua sebagai 'tip' untuk pekerja yang bersusah payah hantar makanan, bersihkan meja dan sebagainya. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan perlu hapuskan caj perkhidmatan ini dan ganti dengan tip yang sudah menjadi 'budaya wajib' di Amerika Syarikat. Kalau puas hati, bayar tip dan tak puas hati, bangun dan terus jalan. Namun, pihak industri pasti tidak setuju dan ia digambarkan melalui keputusan kerajaan atau tepat lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membenarkan hotel dan restoran yang mempunyai perjanjian bersama (CA) atau kontrak pekerjaan antara majikan dan pekerja mengenakan caj perkhidmatan.
Keputusan itu dilihat lebih menguntungkan pihak industri, tetapi tidak memihak kepada pengguna. Alasan pihak industri ialah caj itu digunakan untuk menampung sebahagian upah pekerja mereka. Kata mereka, ada pekerja yang upahnya sekitar RM350 atau RM500 sebulan dan bagi menampung kos mengupah mereka, duit daripada caj perkhidmatan 10 peratus itu diserap ke dalam gaji pekerja. Jika dimansuhkan, pihak industri mendakwa bakal menjejaskan pendapatan mereka kerana 60 hingga 70 peratus gaji bulanan adalah hasil kutipan caj perkhidmatan. Jalan penyelesaian dalam hal ini ialah pihak industri perlu mengenakan gaji minimum RM900 (di Semenanjung) dan RM800 (Sarawak/Sabah) untuk pekerja mereka tanpa perlu lagi bergantung kepada caj perkhidmatan untuk menampung upah pekerja. Apakah pihak hotel, restoran dan bar sanggup berbuat demikian? Kerajaan boleh memansuhkan caj itu, tetapi bagi hotel atau restoran yang mempunyai CA dengan kesatuan pekerja masing-masing, biarkan dulu sehingga tempoh CA itu tamat. Kita tidak mahu isu caj ini membebankan pengguna apatah lagi jika pihak hotel dan restoran sudah mengenakan caj untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Apakah benar semua caj perkhidmatan 10 peratus itu masuk ke dalam gaji pekerja, kerana ada pihak mendakwa ia turut digunakan untuk menampung kos pengurusan seperti dalam CA? Malah, tidak ada angka rasmi berapa banyak hotel dan restoran yang ada CA. Apakah pihak industri enggan mengenakan gaji minimum kerana bagi mereka, gaji pekerja sudah mencecah lebih RM1,000 sebulan selepas mengambil kira agihan daripada caj perkhidmatan? Mengapa pula orang ramai khususnya pelanggan yang perlu 'menggajikan' mereka melalui caj perkhidmatan? Yang pasti rugi ialah pekerja kerana industri perhotelan di Malaysia tidak membuat pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap kutipan caj perkhidmatan, sebaliknya berdasarkan kepada gaji pokok pekerja. Ini berikutan caj perkhidmatan tidak termasuk dalam tafsiran 'upah' mengikut seksyen 2, Akta 452, KWSP 1991.

Sumber Info:Kadir Dikoh (node50106)
ISNIN, 27 APRIL 2015 @ 7:29 AM

-------------------------------------------------------------------
Jika Anda Ada Sebarang Berita / Foto Kejadian Terkini 
Ingin Kongsikan secara Sukarela Dan Anda 
Anda Boleh Hantar Artikel Bahan Tersebut KE Whatsapp BSKHku 
Melalui Talian Hp +601126422627 


Tiada ulasan: