Selasa, 28 April 2015

Semasa Kemalangan Dia Terlupa Isterinya Ada Sekali

Sumber Foto:Hmetro

Dungun: Kemalangan di Kilometer 8, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), dekat Kampung Santong, petang semalam, menjadi kelam-kabut apabila seorang wanita ditemui dalam semak sedangkan suaminya mendakwa dia memandu bersendirian.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, Ramlan Md Ali, 61, yang memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota bersama isterinya, Rohani Rashid, 59, dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Kerteh 1 menghala ke Merchang, Marang.
Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dinaiki pasangan itu terbabas dan nyaris merempuh sebuah kedai makan di situ sebelum kenderaan mereka terhumban ke dalam semak berhampiran.
Peniaga kedai makan, Shafie Salleh, 59, berkata, dia berlari ke tempat kejadian dan mendapati pemandu kenderaan cedera di kepala tercampak keluar dari kenderaannya.
“Saya membuat pemeriksaan ke dalam kenderaannya dan mendapati dia berseorangan di dalam kenderaan itu.
“Malah, saya ada bertanya jika ada individu lain, tetapi dia yang mengerang kesakitan mengakui memandu bersendirian.
“Saya kemudian meminta bantuan seorang rakan sebelum membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Paka,” katanya.
Menurut Shafie, sebaik selesai membawa mangsa ke klinik, dia bersama beberapa penduduk minum di kedai makannya sambil menunggu kehadiran polis untuk menyiasat kejadian itu.
Namun, dia yang berasa tidak sedap hati mengambil keputusan masuk semula ke kawasan semak kira-kira 30 minit kemudian sebelum ternampak isteri pemandu kenderaan terbabit tertiarap kira-kira lima meter dari kenderaan itu.
“Ketika itu, mangsa tidak sedarkan diri sebelum saya memanggil beberapa rakan untuk mengangkat mangsa ke dalam kedai dan sebaik sedar, dia mendakwa bersama suami dan seorang cucunya,” katanya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk masuk semula ke dalam kawasan semak untuk mencari cucunya, namun gagal menemuinya sebelum seorang daripada keluarga mangsa yang datang ke tempat kejadian memaklumkan mangsa hanya berdua.
“Menyedari keadaan itu, kami menghentikan gerakan mencari sebelum kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu cedera ringan di kepala, manakala isterinya turut cedera di kepala.

Sumber Info:Rosli Ilham (node 46893)
Selasa, 28 April 2015 @ 10:20 AM
 

-------------------------------------------------------------------
Jika Anda Ada Sebarang Berita / Foto Kejadian Terkini 
Ingin Kongsikan secara Sukarela Dan Anda 
Anda Boleh Hantar Artikel Bahan Tersebut KE Whatsapp BSKHku 
Melalui Talian Hp +601126422627Www.facebook.com/baganseraikampunghalamanku.

Tiada ulasan: