Ahad, 12 April 2015

Dendam bekas tunang menyebabkan Dia Di Tikam Mati.



Kluang: “Tiga hari lalu, arwah beritahu hatinya tidak tenang selepas bekas tunang bertemunya dan memberikan amaran jika dia tidak dapat, orang lain juga tidak boleh memiliki dirinya,” kata Kamarul Azwan Ahmad Ismail, 23, abang kepada Nursyafikah yang disyaki maut ditikam dalam kejadian di pekarangan parkir kenderaan di Pasaraya Econsave Kluang di sini, petang kelmarin.
Menurutnya, dia menasihati adiknya itu bersabar dan minta tidak terlalu memikirkan hal itu.
“Kami sekeluarga lega apabila bekas tunangnya yang berusia 23 tahun datang ke rumah pagi semalam (kelmarin) kononnya untuk memohon maaf kerana pernah menimbulkan kesulitan kepada arwah adik.
“Dia datang ke ke rumah kami jam 10 pagi dan berjanji tidak mengganggu Nursyafikah yang bekerja sebagai kerani di pasar raya itu,” katanya ketika ditemui di Felda Ulu Denga di sini, semalam.
Nursyafikah yang juga anak ke-10 daripada 11 beradik disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom selepas ditikam lelaki dipercayai bekas tunangnya dalam kejadian jam 6 petang.
Menurut Kamarul Azwan, adiknya sedia memaafkan lelaki itu yang datang ke rumah mereka dengan menaiki teksi sewa dan dia turut menghantarnya hingga ke Stesen Bas Kluang kerana bekas tunangnya itu mendakwa mahu ke rumah bapa saudara di Jengka, Pahang.
“Saya juga menghantar adik ke tempat kerjanya dan pulang ke rumah. Ketika saya bangun tidur selepas solat Jumaat, saya menerima panggilan telefon daripada rakan sekerjanya yang memberitahu arwah ditikam lelaki.
“Nursyafikah dikejarkan ke hospital oleh majikannya dan kami sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan arwah dalam keadaan tenat sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan kejadian berlaku ketika waktu rehat sebelum lelaki berkenaan tiba-tiba muncul di pasar raya berkenaan dan bertemu Nursyafikah di kantin serta memujuknya berbincang di parkir kenderaan.
“Arwah sepatutnya berkahwin pada September ini selepas bertunang buat kali kedua dengan jejaka pilihannya dari Felda Ulu Tebrau di sini, bulan lalu,” katanya.
Kakak mangsa, Sadiah, 40, berkata, keluarganya memang mengenali suspek kerana mereka pernah bertunang lebih kurang setahun sebelum hubungan mereka putus.
“Suspek memang panas baran dan sering pukul adik walaupun di hadapan ibu dan saya setiap kali mereka berjumpa menyebabkan kami sekeluarga memutuskan pertunangan mereka,” katanya.
Menurutnya, adiknya itu putus tunang dengan lelaki berkenaan enam bulan lalu sebelum dia bertunang buat kali kedua dengan lelaki lain.
Sementara itu, ibu mangsa, Bedah Bontak, 62, berkata, sebelum ke tempat kerjanya mangsa ada berpesan supaya menyimpan sambal udang kegemarannya untuk dimakan selepas pulang bekerja.
“Apa diharapkan, suspek ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal walaupun ia tidak akan mengembalikan arwah semula ke pangkuan keluarga kami,” katanya.

Sumber Info :Mary Victoria Dass dan Adnan Ibrahim (Ahad, 12 April 2015 @ 5:26 AM)

Cerita Berkaitan ada di Link Ini :

Foto Muka Depan Akhbar Sinar Harian Edisi Johor

KLUANG - Pihak polis sedang giat memburu seorang pemuda yang disyaki menikam gadis bekas tunangnya di sini dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya percaya suspek yang berusia lingkungan 20-an masih berada di negeri ini.
"Setakat ini hanya seorang suspek yang dikenal pasti terlibat dan polis sedang berusaha untuk memberkasnya," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pihak polis sudah mempunyai petunjuk dan berharap dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.
Siasatan kes dilakukan dari pelbagai sudut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam dan di luar pasar raya tempat berlaku kejadian, katanya.Mohd Roze berkata, laporan bedah siasat mengesahkan punca mangsa meninggal  adalah disebabkan tusukan pisau di rusuk kiri dan terkena paru-parunya.
Beliau berkata ia merupakan kes bunuh bermotifkan dendam serta cemburu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pihak polis.
Mangsa Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, dipercayai ditikam oleh bekas tunangnya kerana merasa cemburu mangsa mempunyai pengganti dan bakal berkahwin tidak lama lagi.

Sumber Info :Sinar Harian (12/4/2015)
-----------------------------------------------------------------------------------------
Jika anda ada sebarang Berita / Foto Kejadian Terkini yang anda ingin kongsikan secara Sukarela
Anda boleh menghantar Bahan Artikel Tersebut melalui Whatsapp di Talian 601126422627

Tiada ulasan: