Selasa, 7 April 2015

Apabila Sinar Hidayah Itu Di Kurniakan.Seorang Sami Memeluk Agama Islam



30 tahun kaji agama, sami peluk Islam


MELAKA - Hampir 30 tahun mengkaji setiap agama di dunia ini, akhirnya seorang sami Buddha berusia 66 tahun mengambil keputusan memeluk Islam.
Pengalaman menjadi sami selama 28 tahun di Taiwan mendorong lelaki yang enggan identitinya itu didedahkan, mencari kebenaran dan akhirnya mengakui Islam merupakan satu agama yang indah dan sempurna.
Semalam, lelaki terbabit mengucap dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Cina, di sini.
Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (Macma), Lim Jooi Soon berkata, sepanjang menjadi sami di Taiwan, lelaki berkenaan banyak menghabiskan masa mengkaji setiap agama di dunia ini.
"Semasa menjadi sami, dia begitu banyak mengkaji tentang banyak agama di dunia ini. Dalam pengkajian itu, dia cuma menemui Islam sebagai sebuah agama paling lengkap dan meliputi segala aspek setiap kali berhujah.
“Dia banyak melihat agama Islam ini semakin berkembang, tetapi dia tidak tahu puncanya," katanya.
Menurutnya, lelaki yang berasal dari Johor itu datang ke negeri ini sejak tiga minggu lalu.
"Akhirnya, dia berjumpa saya dan saya telah menerangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini menyebabkan dia tertarik untuk memeluk Islam,” katanya selepas majlis itu semalam yang
disempurnakan penaung Macma, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin dan Mufti negeri, Datuk Dr Mohadis Yasin.
Jooi Soon berkata, kini tugas Macma adalah untuk membimbingnya agar dapat mengetahui ajaran Islam secara mendalam.
“Kerja kami baru hendak bermula untuk mengajarnya dan kami hanya boleh mengajar dalam bahasa Mandarin kerana dia tidak fasih bahasa Melayu dan Inggeris. Ia mungkin menuntut sedikit kesabaran,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama semalam turut menyaksikan pengislaman seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 31 tahun.
Menurut Jooi Soon, lelaki dikenali sebagai Teo itu dikatakan ditemui ketika hidup di dalam gelandangan dan hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk sesuap nasi.
“Dia mengalami kecacatan anggota kaki dan tangan. Rakan-rakan kami menemuinya sehingga akhirnya kami dakwah dia untuk tertarik terhadap Islam.
“Paling mencabar lagi bagi kami, OKU ini juga tidak berpelajaran dan tidak tahu membaca,” katanya.


Sumber Info :Amran Ali 7/4/2015



Melaka: "Hidayah untuk saya memeluk Islam sudah lama dirasai. Ia bermula ketika saya membaca kitab mengatakan bahawa jika ada agama selepas ajaran yang dianuti saya membawa kebaikan dan kebenaran, maka ikutlah agama itu," kata seorang sami yang memeluk Islam di Masjid Cina Negeri Melaka di Krubong di sini, petang kelmarin.
Saudara baru berusia 66 tahun yang enggan identiti didedahkan itu diIslamkan oleh Penaung Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik sambil disaksikan Pengerusi MACMA Melaka Lim Jooi Soon.
Sami berasal dari Johor yang berpengalaman selama 28 tahun sebagai sami di Taiwan itu berkata, dia begitu berminat mengetahui perkembangan ajaran Islam dan hatinya terbuka untuk agama itu selepas berbincang mengenai topik mengenali Tuhan tiga minggu lalu.
Sementara itu, Rahim berkata, kebenaran Islam yang ternyata berbeza memikat sami itu memeluk Islam.
Katanya, usaha itu memperlihatkan perkembangan syiar Islam yang baik di negara ini.
"Kaum Cina adalah kaum yang begitu strategis. Mereka berkebolehan dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi dan apabila adanya pendakwah menyebarkan Islam dalam kalangan mereka, saya rasa ia satu usaha begitu murni dan mulia.
"Kita berasa amat terharu dalam keadaan Islam digembar-gemburkan dengan imej yang negatif di sisi media barat, namun MACMA Melaka boleh melahirkan usaha pengislaman membabitkan seorang sami yang ternyata bukan satu tugas mudah," katanya.
Pada majlis itu juga, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berasal dari Pulau Pinang, Teoh Boon Khoon turut memeluk Islam.
Mengikut rekod, sejak 1990, seramai 4,251 orang saudara baru memeluk Islam di Melaka dan daripada jumlah itu, 760 daripadanya berketurunan Cina.

Sumber Info :Nazri Abu Bakar  Selasa, 7 April 2015 @ 5:57 PM






Sumber Foto:
-Adny
-abdulhaziqarif

---------------------------------------------------------------
Untuk melihat senarai himpunan video dan senarai berita yang telah di muat naik.
Sila Lawati Halaman
https://twitter.com/baganseraiku
https://www.facebook.com/baganseraikampunghalamanku
http://baganseraikampunghalamanku.blogspot.com/
‪#‎baganseraikampunghalamanku‬ ‪#‎Kemalanganjalanraya‬ ‪#‎accident‬ ‪#‎news‬ ‪#‎viral‬ ‪#‎kebakaran‬ ‪#‎Murder‬ #KhidmatMasyarakat

Tiada ulasan: