Isnin, 6 April 2015

Rumah Tok Kadi Di Teluk Intan Terbakar





Teluk Intan: Semua dokumen penting termasuk surat pendaftaran perkahwinan serta surat pernikahan penduduk Kampung Parit 12A, Sungai Manik, dekat sini, musnah selepas rumah tok kadi kampung berkenaan hangus dalam kebakaran malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, kebakaran turut menyebabkan semua harta benda termasuk barang kemas serta wang tunai milik tok kadi berkenaan Samsuddin Tahir, 57, yang juga Imam Masjid Al-Zahir, Parit 12B, musnah.
Menurut Samsuddin dia reda dengan apa yang berlaku terhadap keluarganya itu selepas beberapa kejadian yang menimpa penduduk di kampung berkenaan.
“Ini takdir dan ketentuan Tuhan, apatah lagi selepas beberapa rumah penduduk kampung bersebelahan rumah saya rosak teruk selepas dilanda ribut empat hari yang lalu. Saya anggap ini sebagai dugaan serta ujian oleh Ilahi.
“Walauapa pun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya termasuk ibu saya berusia 90 tahun serta beberapa orang cucu selamat. Apa yang menyedihkan adalah semua dokumen dan surat pernikahan penduduk kampung hangus. Bukan mudah untuk diganti semua dokumen berkenaan,” kata Samsuddin yang menganggarkan mengalami kerugian hampir RM100,000 dan buat masa ini mereka sekeluarga menumpang di rumah adiknya berdekatan kampung itu.

Sumber Info:Ravale Savarinathan

Tiada ulasan: