Sabtu, 4 April 2015

KOTA TINGGI - Polis Kota Tinggi akan menjalankan siasatan berikutan insiden rompakan yang berlaku membabitkan seorang wanita hamil di Kilometer 62 Lebuhraya Senai-Desaru, Bandar Penawar Kota Tinggi yang telah tersebar dan menjadi viral diaplikasi WhatsApp dan juga laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman ketika mengesahkan kes itu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.00 malam 1 April lalu, mangsa seorang wanita berusia 27 tahun beralamat di Felda Sening.

Menurutnya, mangsa bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel telah melalui lebuh raya tersebut dengan memandu Perodua Myvi berwarna putih secara berseorangan.

“Mangsa dalam perjalanan menuju ke Pasir Gudang dan telah berselisih secara bertentangan dengan sebuah motosikal Honda EX5 hitam ditunggang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Lelaki tersebut bertindak membaling satu objek disyaki batu ke arah cermin kereta mangsa sebelum mangsa kemudiannya telah memberhentikan kereta dan bertanyakan kepada suspek kenapa membaling objek tersebut ke arah keretanya.

“Secara tiba-tiba suspek meluru ke arah mangsa dan bertindak merampas telefon bimbit jenis Samsung Note 2 yang sedang digunakan ketika menghubungi suaminya. Semasa suspek merampas telefon bimbit tersebut tangan suspek telah terkena pada bahagian pipi sebelah kiri menyebabkan pipi mangsa berasa sakit.

Rahmta berkata, selepas suspek merampas telefon bimbit dan melarikan diri, mangsa telah masuk ke dalam kereta dan bertindak mengunci serta beredar dari tempat kejadian.

“Bagaimanapun suspek masih mengekori mangsa dengan bertindak menghimpit kereta yang dipandu mangsa sebelum terus menghilangkan diri,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mangsa ditumbuk sebaliknya mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di pipi ketika suspek merampas telefon bimbitnya.

Katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan dan tindakan akan diambil berpandukan keterangan yang telah diberikan mangsa.

Jelas Rahmat, ia merupakan kejadian pertama dilaporkan kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan.

“Ketua Polis Balai Bandar Penawar telah diarahkan untuk mempertingkatkan rondaan dengan kerjasama pihak peronda lebuh raya Senai Desaru Expressway Bhd. Sekatan jalan raya juga masih beroperasi pada jarak 2 kilometer dari Tol Bandar Penawar.

“Kita juga mahu menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar berhubung terus balai polis berhampiran atau  peronda lebuh raya untuk bantuan segera. Jika berlaku sebarang perkara seperti kejadian yang mencurigakan jangan berhentikan kenderaan. Pandu terus ke kawasan orang ramai atau ke balai polis berdekatan,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan memandu seorang diri dan jangan panik jika berhadapan dengan suasana sedemikian serta tidak bertindak bersendirian bagi mengelakkan kecederaan atau nyawa terancam.

“Pastikan dalam telefon bimbit ada menyimpan nombor telefon pihak berkuasa kerana ia amat berguna terutamanya ketika kita berdepan dengan sebarang situasi kecemasan,” katanya lagi.

Sumber Info:Masturah Suradi

Sumber Foto Daripada :
-Demi Rakyat johor
-Muhammad Fahmie
-DiTw






-------------------------------------------------------------------------------
Untuk melihat senarai himpunan video dan senarai berita yang telah di muat naik.
Sila Lawati Halaman
https://www.facebook.com/baganseraikampunghalamanku
‪#‎baganseraikampunghalamanku

Tiada ulasan: